JOHOR BAHRU 4 Ogos - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) menetapkan dua kadar bayaran zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini iaitu RM5 atau RM7.50 seorang untuk tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ, A. Rahman Jaffar berkata, penetapan kadar zakat fitrah tersebut adalah mengambil kira harga semasa beras yang dimakan oleh umat Islam di negeri ini.
Menurutnya, kadar fitrah bagi RM5 seorang adalah untuk umat Islam yang memakan beras gred hancur iaitu yang berharga RM1.80 sekilogram manakala mereka yang memakan beras super, maka kadar fitrahnya ialah RM7.50 seorang.
“Umat Islam boleh mula membayar zakat tersebut mulai 1 Ramadan sehingga sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri, tetapi diingatkan agar menunaikan dengan seawal mungkin dan tidak menunggu pada saat-saat akhir.
“Selain itu, umat Islam juga diingatkan agar membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik MAIJ sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas A. Rahman, dua kadar tersebut adalah sama dengan kadar yang dilaksanakan tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya akan mengedarkan pekeliling ‘Panduan Membayar Zakat Fitrah Tahun 1431 Hijrah/2010 Masihi’, dalam tempoh terdekat ke pejabat agama daerah, masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri ini.
Menurutnya, umat Islam yang bermukim di negeri ini wajib membayar zakat fitrah di Johor kepada amil-amil bertauliah yang dilantik MAIJ dan resit penerimaan akan dikeluarkan oleh amil berkenaan.
A. Rahman berkata, bagi membolehkan pembahagian zakat fitrah kepada fakir miskin dilakukan sebelum Aidilfitri dan sebagai peringatan supaya menyegerakan pembayaran zakat fitrah, maka dikehendaki kerjasama umat Islam supaya mengeluarkan fitrah lebih awal iaitu mulai awal Ramadan sebagaimana yang diharuskan oleh syarak.
Beliau menjelaskan, umat Islam yang enggan membayar zakat fitrah dengan sengaja adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor (1997).
Katanya, mereka yang ingkar boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan itu.
Jelasnya, mana-mana individu yang memungut zakat atau fitrah tanpa mendapat tauliah sebagai amil dari MAIJ, adalah melakukan suatu kesalahan.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
- Sumber dari Utusan Malaysia -
No comments:
Post a Comment