03 May 2010

Anugerah PERSAMA 2010

PENCALONAN BAHAN-BAHAN ILMIAH UNTUK ANUGERAH PERSATUAN SAINS MATEMATIK MALAYSIA (PERSAMA) 2010

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia akan menganjurkan Anugerah PERSAMA 2010 yang akan diadakan di penghujung tahun 2010.

Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak PERSAMA memohon kerjasama dari pihak saudara untuk mencalonkan bahan-bahan ilmiah terbitan Jabatan saudara atau pencalonan individu untuk Anugerah PERSAMA 2010 bagi kategori berikut.

* Buku Karya Asli
* Buku Karya Terjemahan
* Tesis Sarjana
* Tesis Doktor Falsafah
* Makalah Ilmiah
* Rekacipta Matematik
* Rencana popular


Hadiah bagi pemenang utama dan beberapa pemenang saguhati berupa wang tunai serta sijil dari PERSAMA. Untuk makluman, pencalonan dari Jabatan amat digalakkan tetapi pencalonan dari individu juga turut diterima. Bersama-sama ini dilampirkan garis panduan anugerah bagi setiap kategori untuk tindakan saudara seterusnya. Untuk makluman, tarikh tutup pencalonan adalah pada 31 Mac 2010. Sila hantarkan bahan-bahan ilmiah yang berkaitan berserta borang pencalonan terus kepada saya di alamat di bawah.

Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan terus kepada saya. Sekian dimaklumkan. Terima kasih. Wassalam.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Yang menjalankan tugas,
Prof Madya Dr Nor Haniza Sarmin
Penyelaras Anugerah PERSAMA 2010
d/a Jabatan Matematik, Fakulti Sains,
Universiti Teknologi Malaysia,
81310 UTM Skudai, Johor
Tel : 07-5534867 (pej), 017-7557660 (h/p) Mel-e : nhs@utm.my

----------------------------------------------------------------------------------


SYARAT-SYARAT UMUM PERTANDINGAN

* Calon adalah rakyat Malaysia.
* Keutamaan diberi kepada ahli PERSAMA.
* Karya tersebut mestilah diterbitkan dalam tahun 2009.
* Karya tersebut tidak dihasilkan oleh ahli Majlis Eksekutif PERSAMA / ahli jawatankuasa / panel hakim pertandingan (sepenuhnya atau bersama).
* Keputusan panel hakim adalah muktamad.


SYARAT-SYARAT KHUSUS PERTANDINGAN

KATEGORI BUKU KARYA ASLI DAN BUKU TERJEMAHAN

Senaskhah buku berserta borang pencalonan hendaklah dihantar terus kepada Penyelaras Anugerah PERSAMA selewat -lewatnya pada 31 Mac 2010 untuk proses saringan awal.

Penilaian dilakukan berdasarkan kepada beberapa perkara berikut:

Karya Asli

* Mestilah diterbitkan oleh penerbit tempatan.
* Buku-buku tersebut mestilah berunsurkan Sains Matematik, Sains Teknologi, Sains Komputer, Statistik, Ekonomi dan Matematik, Sains Kejuruteraan, Matematik Pendidikan, atau Sejarah dan Falsafah Matematik.
* Tahap ilmu universiti dalam bahasa Malaysia (atau Bahasa Inggeris) dan karya bukan ahli jawatan kuasa/panel penilai/hakim pertandingan ini. Buku yang ditulis dalam Bahasa Malaysia adalah diutamakan.
* Kepribumian karya: Kefasihan bahasa, nahu, keretorikan, ketepatan istilah, kepercayaan kepada Bahasa Melayu (atau Bahasa Inggeris) seperti terpancar menerusi ketiadaan istilah atau ungkapan yang dipetik daripada bahasa/sumber lain; bahan yang tidak asing daripada bahan/budaya setempat, atau serantau.
* Keaslian idea, bahan, pendekatan, pengolahan, dan penyusunan.
* Keikhlasan, ketanggungjawaban dan keintegritian yang terpancar menerusi kejelasan hujah dan sumber.
* Ketelitian akademik.
* Mutu perbukuan: bentuk luarannya, rujukan, indeks dan sebagainya.


Karya Terjemahan

* Tahap ilmu universiti dalam bahasa Melayu dan karya bukan ahli jawatan kuasa/panel penilai/hakim pertandingan ini.
* Keklasikan/keistimewaan buku aslinya daripada pelbagai aspek termasuk ketelitian akademiknya.
* Sumbangan penterjemah kepada ilmu yang diterjemahkannya, seperti menerusi tafsirannya, dan penjelasannya (bukan sekadar terjemahan harafiah).
* Mutu bahasa terjemahannya sama dengan dalam kriterium 2 dalam karya asli di atas.
* Mutu perbukuan: bentuk luarannya, rujukan, indeks dan sebagainya.



KATEGORI TESIS SARJANA DAN DOKTOR FALSAFAH

Setiap jabatan/fakulti berkenaan dari IPT tempatan diminta mencalonkan tesis yang terbaik dari Jabatan/Fakulti berkenaan (fakulti terletaknya pengajian sains matematik) dalam kategori Sarjana dan Doktor Falsafah. Maklumat tesis yang dicalonkan itu hendaklah disertakan dengan:

* abstrak tesis
* salinan laporan pemeriksa luar dan dalam
* salinan softcopy keseluruhan tesis dalam bentuk CD (termasuk muka depan)
* senarai penerbitan yang terhasil dari penulisan/penyelidikan tesis tersebut.


Bahan-bahan tersebut berserta borang pencalonan hendaklah dihantar terus kepada Penyelaras Anugerah PERSAMA selewat-lewatnya pada 31 Mac 2010. Hanya tesis yang mencapai taraf cemerlang sahaja yang dipertimbangkan oleh jawatan kuasa atau panel hakim hadiah ini.


KATEGORI MAKALAH ILMIAH

Setiap penerbit/jabatan/fakulti berkenaan dari IPT tempatan diminta mencalonkan makalah terbaik dari Jabatan/Fakulti di tempat terletaknya pengajian sains matematik. Bidang Sains Matematik ialah yang merangkumi semua pengajian yang bermatematik seperti yang ditakrifkan oleh PERSAMA.

Tiga salinan makalah yang dicalonkan bersama-sama salinan muka depan jurnal dan borang pencalonan hendaklah dihantar terus kepada Penyelaras Anugerah PERSAMA selewat-lewatnya pada 31 Mac 2010.

Kriteria Makalah Ilmiah:

* Mestilah diterbitkan oleh jurnal-jurnal tempatan
* Ditulis dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris



KATEGORI REKACIPTA MATEMATIK

Penyertaan adalah dibuka kepada semua ahli akademik bidang sains matematik. Tujuan pertandingan diadakan adalah untuk menghasilkan daya kreatif dan inovasi dalam bidang sains matematik di kalangan ahli-ahli akademik bidang ini. Hasilan rekacipta mestilah berbentuk idea, konsep, sistem, proses, teknik atau perisian yang mempunyai elemen matematik.

Kriteria Rekacipta Matematik:

* Mempunyai elemen matematik
* Rekacipta asli atau baru
* Hasil dari penyelidikan
* Mempunyai nilai komersil
* Kepelbagaian gunaan
* Mesra pengguna
* Rekacipta yang telah memenangi mana-mana anugerah daripada mana-mana persatuan selain dari PERSAMA boleh dipertimbangkan


Hasil rekacipta yang dicalonkan (dalam bentuk CD dan poster/pamplet dsbnya) berserta borang pencalonan hendaklah dihantar terus kepada Penyelaras Anugerah PERSAMA selewat-lewatnya pada 31 Mac 2010.


KATEGORI RENCANA POPULAR

Salah satu matlamat PERSAMA ialah untuk mendidik masyarakat umum tentang peranan dan keberkesanan sains matemtik dalam pembangunan negara khususnya Malaysia. Anugerah ini dizahirkan khas kepada para penulis yang mampu membantu PERSAMA untuk mencapai matlamat ini. Penulisan yang membincangkan permasalahan pendidikan sains matematik di tanah air pada semua peringkat juga akan dipertimbangkan.

Penyertaan hendaklah dihantar dalam bentuk yang telah diterbitkan (bukan fotokopi) berserta borang pencalonan terus kepada Penyelaras Anugerah PERSAMA selewat-lewatnya pada 31 Mac 2010.

Dengan ini, pihak PERSAMA mengalu-alukan penyertaan daripada semua penulis tempatan untuk merebut anugerah ini tertakluk kepada syarat-syarat dan kriteria berikut :

* Penulisan berkenaan hendaklah terbit dalam akhbar atau majalah tempatan.
* Penulisan yang terbit dalam majalah dalaman yang agak luas skop pembacanya juga akan dipertimbangkan (contohnya terbitan dalam Universiti).
* Mempunyai elemen sains matematik.
* Jalan bahasanya sesuai kepada mereka yang berkepakaran di luar bidang sains matematik.
* Keutamaan diberikan kepada penulisan dalam Bahasa Malaysia.

No comments:

Post a Comment