04 February 2010

Menderma organ ...

Merujuk kepada Pekeling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, seseorang penjawat awam layak untuk mengambil Cuti Tanpa Rekod selama 42 hari sekiranya penjawat awam tersebut menderma organ kepada yang memerlukan.

i) Cuti ini diperuntukkan kepada semua pegawai lantikan tetap, sementara, kontrak, sangkut mahupun guru sandaran;

ii) Segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia;

iii) Tidak termasuk bagi tempoh penjawat awam menjalani ujian, pembedahan mahupun tempoh sebelum dibenarkan discaj dari hospital;

iv) Cuti ini tertakluk kepada pembedahan yang dilakukan di dalam negara sahaja.

Menderma organ dari perspektif Islam pula, keputusan yang dicapai di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa MKI Kebangsaan pada 23-24 Jun 1970 iaitu :

i) Pemindahan mata dan jantung orang-orang mati kepada orang hidup adalah dibenarkan dalam Islam, dan di atas pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah di ambil kira:

* Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya;

* Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya;

* Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya; dan

* Kebenaran hendaklah diperoleh daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa, atau dari kaum keluarga atau keluarganya, di dalam kematian akibat kemalangan.

- sumber rujukan : laman web Jabatan Perkhidmatan Awam & Jabatan Kemajuan Islam Malaysia -

No comments:

Post a Comment