Nabi Muhammad s.a.w datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik pada masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.
Justeru itu, Rasulullah s.a.w kemudian mengisytiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.
Rasulullah s.a.w membacakan kepada mereka wahyu Allah s.w.t yang bermaksud :
Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). (Surah Al-Naml, ayat 65)
Bukan malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah s.a.w juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t yang bermaksud :
Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". (Surah Al-A'raaf, ayat 188)
Oleh kerana itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib yang sebenarnya, bererti dia mendustakan Allah s.w.t, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia.
Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi Muhammad s.a.w, mereka menganggap bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w : "Tahukah tuan apakah ini?"
Maka Nabi Muhammad s.a.w menjawab dengan tegas : "Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka".
Inilah yang dilakukang oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi pada hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti di mana boleh dijumpakan orang hilang, siapa yang melakukan kejahatan kepada individu tertentu dan pelbagai lagi.
Bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampuradukkan ucapan itu dengan ratusan pembohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.
Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal, dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah s.w.t tetapi wali Syaitan yang hanya akan merosakkan akidah umat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lau dia membenarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari" (Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w" (Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat; berkata Al-Haithami perawinya sohih kecuali 'Uqbah bin Sinan)
Tetapi apa yang menyedihkan sekarang ini ialah kebanyakan manusia akan berjumpa bomoh untuk kepentingan diri sendiri.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment